Creative Designer & Writer from MY.

A designer who have so much on the plate, that decided to just go to sleep. It is always a new day tomorrow. And, I am the author of the book #CeritaBudakDesign.

Bad for Business

Aku tulis artikel ni masa cerita pasal logo satu koalisi pembangkang hangat diperkatakan di media sosial. Mulanya ingat nak hantar kat The Vocket, tapi malangnya macam takda berita apa-apa, jadi aku up dekat blog sendiri sajalah. Entah ada orang baca ke tak, aku tak tahu. Tapi, lantaklah. Mungkin aku boleh masukkan dalam buku seterusnya nanti.

—-

Kecoh awal minggu haritu tentang pengundian di media sosial berkaitan logo baru untuk Pakatan Harapan, sebuah koalisi pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang. Posting Facebook tersebut dibuat oleh YB Rafizi Ramli, ahli parlimen Pandan menjadi antara topik viral di kalangan rakyat Malaysia dan para designer Malaysia.

Niatnya baik. Untuk tahu apa reaksi netizen dan rakyat secara amnya.

Tapi mungkin agak tersasar jauh antara tujuan dan hasil yang diperolehi. Netizen secara keseluruhannya, kalau tidak pun 100% mungkin sekitar 80-90% tidak bersetuju malahan ada yang lebih ekstrim memaki hamun. “Kalau bab logo pun tak boleh nak buat keputusan, macamana nak tadbir negara?” kata mereka. Komen serta kritikan ini kau boleh baca sendiri secara terperinci diluar sana. Bersepah perbincangan yang ada. Silap-silap, aku agak yakin entah-entah mungkin ada perbincangan tertutup dalam kalangan group-group WhatsApp kalian.

Kritikan-kritikan yang diterima membayangkan yang samaada netizen sayang dan mengharapkan sesuatu dari Pakatan Harapan atau semata-mata rakyat Malaysia secara amnya sudah mula meletakkan design itu ke satu tahap yang tinggi.

Disebabkan itu, semalam, sekretariat media Pakatan Harapan mengumumkan bahawa logo baru Pakatan Harapan bakal dibuka kepada umum.

Maka, berlumba-lumbalah designer Malaysia mencurahkan idea-idea mereka—hmm, mungkin tak sangat kot?

Secara peribadi, aku bukanlah seorang yang setuju dengan penyertaan terbuka, pertandingan untuk merekacipta satu-satu logo organisasi atau jenama baru sesuatu produk dan sebagainya. Penyertaan terbuka atau pertandingan ni, bagi aku melambangkan satu perkara dan satu perkara ini sahaja—bahawa empunya organisasi tak tahu apa yang mereka mahu dan dalam satu-satu situasi kedekut untuk menghabiskan tenaga, masa dan wang ringgit.

Kenapa aku cakap macam tu?

Secara dasarnya, aku tak ada masalah untuk libatkan orang ramai dalam pemilihan logo terutamanya dalam perihal politik. Perkara ni dah lama dibuat di luar negara. Contohnya di US Presidential Campaign, menjadi kebiasaan sebagai contohnya untuk mereka membuat cubaan antara warna poster berlatarkan biru dan adakah teks yang berwarna kuning atau putih yang akan lebih menarik minat rakyat untuk mengundi. Aku ikut agak rapat calon Parti Demokrat, Hillary Clinton dulu dan Bernie Sanders sebelum Hillary secara rasmi menjadi calon. Website mereka sahaja setiap kali aku layari, mesti ada perubahan kecil yang taklah ketara sangat tapi nampak perbezaannya. Kalau boleh Google video-video atau cari buku oleh Scott Thomas, Design Director untuk Kempen Presiden Obama. Dia cerita pengalaman dia buat design untuk Obama.

Dah macam satu organisasi korporat punya kerja.

Cuma aku berpendapat tak patut untuk libatkan orang ramai dari langkah pertama. Tak mengapa kalau sudah masuk langkah ke-10 baru dilibatkan orang ramai. Penyertaan terbuka ibaratnya macam lepas tangan begitu sahaja. Paling tidak, cari designer yang profesional yang dah biasa bekerja dengan parti politik, minta mereka hasilkan beberapa variasi logo. Belakang tabir, senarai pendekkan tiga yang terbaik dan kemudian baru minta pendapat orang ramai untuk undi.

Key point aku ialah, kita kerja keras dulu. Bersusah-payah, berkerah keringat untuk dapatkan hasil yang terbaik. Jangan buat acuh tak acuh, tak salah pun cari profesional buat. Brief mereka apa yang dirasakan perlu dan kemudian yang profesional ini tahulah apa yang perlu mereka lakukan.

Macamana Proses Buat Logo Berjalan

Proses merekacipta logo ni setiap designer caranya berbeza. Tapi, berdasarkan pengalaman aku dan beberapa rakan-rakan designer yang lain, berikut adalah cara yang paling afdhal dan asas yang orang boleh jadikan sebagai rujukan.

Langkah pertama, pemilik organisasi, syarikat, bisnes atau produk cari design studio yang berupaya untuk merealisasikan impian kau. Kalau kau ada rangkaian kenalan business associates yang besar, mungkin mudah. Hubungi semula rakan-rakan lama.

Kalau bermula dengan logo biasanya tak banyak kerenah. Klien yang tahu apa yang mereka mahu, akan mudahkan kerja kau. Pernah satu klien aku dulu cakap, dia suka konsep logo ala-ala Timberland. Rekabentuk logo berbentuk pokok berasaskan outline.

Kemudian, kebanyakkan designer akan mula dengan hand-sketch. Conteng-conteng atas kertas untuk mulakan idea. Cari inspirasi dengan cara tersendiri.

Bila rasa-rasa dah ada sketch idea yang menarik, pergi masuk Illustrator dan digitalkan.

Sampai masa, bentang dekat klien.

Kalau rasa nak lebih meyakinkan, setengah orang akan pergi extra mile dengan memasukkan logo yang dah didesign ke dalam bahan-bahan berkaitan seperti business card, letterhead, signage kedai dan sebagainya.

Di penghujung jalan, bila semuanya sudah dipersetujui, designer akan preparekan final artwork dan sedia untuk diserahkan kepada klien.

Politik Pun Perlu

Aku rasa dah sampai masa untuk parti-parti politik di Malaysia ni buat perkara yang sama.

Dah kata politik matang?

Matang bukan sepatutnya dekat cara main politik semata-mata tapi perlu masuk dalam segala aspek termasuklah branding dan design. Kalau cara main politik dimatangkan, tapi tak nampak keseriusan dalam imej, macam tak lengkap pun ada istilah politik matang tu.

Aku tak ada apa-apa kepentingan politik.Kecenderungan aku cuma satu, aku mahu lihat design ini naik ke satu tahap yang membanggakan dan boleh diterima ramai. Aku rasa dah tiba masa untuk kita tinggalkan cara lama.

Aku ikut dekat beberapa organisasi politik yang ada dan logo yang tular di media sosial. Ada satu yang kurang sikit ketularannya, satu perkongsian alternatif logo yang dikongsi oleh satu akaun Twitter. Aku rasakan logo tersebut direka oleh seorang designer yang profesional. Mungkin ada kekurangan sedikit, kurang lengkap, pra-matang, tapi secara keseluruhan jauh lebih baik dari apa yang dikongsikan dan dikritik hebat sebelumnya.

Tapi, ada beberapa komen yang aku rasakan aku perlu untuk jawap, walaupun aku tahu jawapan aku ni mungkin tak bagi kesan apa, tapi aku sebut juga. Antara kata orang, “Cantik, tapi tak sesuai dengan parti politik.” “Cantik, tapi logo macam ni orang-orang dekat bandar bolehlah terima. Kita kena fikir sesuai dengan luar bandar juga!” Aku rasa, mentaliti sebegini perlu dibuang. Sebab kalau terus macam tu, sampai bila-bila design dekat Malaysia takkan ke mana.

Aku faham kenapa orang kata perlu sesuai dengan luar bandar, tapi kalau selamanya kita asyik berkompromi kena sesuai dengan golongan atau kawasan tertentu, sampai bila-bila pun takkan sesuai. Ikut kesesuaian semasa mungkin strategi jangka pendek.Tapi untuk strategi jangka panjang, mungkin boleh dipertimbangkan. Mana tahu satu hari nanti kita boleh buat orang faham dan kita boleh nampak design di Malaysia akhirnya bertaraf dunia.

Marilah kita desak Pakatan Harapan untuk pilih logo baru mereka yang berkelas dunia dan diluar norma biasa.