Creative Designer & Writer from MY.

A designer who have so much on the plate, that decided to just go to sleep. It is always a new day tomorrow. And, I am the author of the book #CeritaBudakDesign.

1 Prolog

Sebelum apa-apa, aku akan uploadkan apa yang boleh aku gambarkan sebagai ‘the unpublished’ version of Cerita Budak Design 2. Aku takkan masukkan semua dalam satu post, tapi aku pecahkan ikut bab per post. Ataupun kalau bab tu panjang sangat, mungkin aku akan pecahkan lagi. Tengoklah macamana.

Kenapa ‘unpublished’?

Well, senang cerita, aku tak rasa tulisan ‘unpublished CBD 2’ ini akan ada bibit-bibit untuk dibukukan. Satu, sebab isinya belum cukup banyak. Aku pula terlalu terikat sangat dengan kerja, jadi bila aku ada idea, aku takda masa untuk tulis. Akhirnya idea aku tu hilang ditiup angin. Dua, buku CBD aku dulu publisher aku dah mula untuk jual murah, RM5 ke macam tu. Lepas tu penulis lain ‘bising’, lalu dinaikkan ke RM7.

Aku tak salahkan mereka pun. Tadi, aku baru tengok satu post pasal publisher Terfaktab pun dah buat jualan penutupan kedai/bisnes. Kalau brand macam Terfaktab pun boleh tutup kedai, apatah lagi….ahhh, Giant yang gergasi tu pun tutup 5 kedai tahu?! Ekonomi tak baik, so yes.

Ok gais, The Unpublished: Prolog.

PROLOG.

Aku cuba Google, apa makna prolog ni sebenarnya.

Tadi, sambil-sambil aku tengah melayari laman-laman sesawang yang menarik serata dunia, aku terserempak dengan satu laman web penerbit buku. Sajalah tengok-tengok buku-buku yang dia terbitkan. Banyak buku-buku fiksyen—bahasa melayu dengan inggeris, dua-dua ada.

Terklik satu buku berbahasa inggeris, dia ada letakkan pilihan untuk kau muat turun bab-bab awal buku-buku yang penerbit ni terbitkan. Menariklah juga cara dia pasarkan buku-buku dia. Dia kasi kau muat turun bab awal, kau baca, kalau menarik dan nak tahu lebih lagi, pergi kedai buku dan beli. Kalau sanggup tunggu, beli atas talian terus dari laman sesawang penerbit tu sendiri. Menarik.

Jadi, salah satu bab awal buku yang aku tertarik untuk tengok dan baca apa penulis tu tulis dalam buku dia, dia tulis sebagai prolog. Rasanya dulu, aku pernah juga guna perkataan prolog ni, tapi tak betul-betul tahu apa maksud dia. Kasarnya, kau tahu apa maksud dia, jauh dalam hati kau tahu maksud dia, tapi kau tak tahu secara rasmi. Kau cuma tahu secara-tak-rasmi sahaja.

Jadi, aku Google.

Lebih kurang maksud dia, permulaan untuk satu-satu penceritaan, penulisan; atau permulaan satu-satu perkara yang membawa kepada perkara yang lain.

Fikir punya fikir, betul juga tu.

Kira tak salahlah untuk aku namakan bab pertama buku kedua aku ni sebagai Prolog.

Logiknya dan dengan ringkasnya, prolog itu adalah satu permulaan.

Sebagaimana permulaan Cerita Budak Design dulu membawa kepada aku menyentuh akal serta fikiran, serta mungkin menyentuh 2,450 hati-hati orang yang membaca buku aku dulu. Kemudian membawa kepada aku berusaha keras cuba untuk hasilkan pula penulisan kedua aku yang kalau ikutkan kepada folder yang aku letakkan pada desktop komputer aku, dah lebih daripada lima.

Jadi, kepada 2,450 orang yang di luar sana, aku ucapkan terima kasih.

Terima kasih kerana sudi untuk membeli dan membaca apa yang ada dalam fikiran aku.

Terima kasih juga kepada mereka yang memberi komen positif. Tak lupa juga untuk aku ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi untuk memberikan kritikan membina. Bukan senang nak kritik orang. Lagi-lagi kalau nak kritik yang bukanlah aku takrifkan sebagai negatif, tapi lebih kepada satu kritikan yang kalau tak kena tempatnya, tak kena orangnya, boleh timbulkan sengketa.

Untuk itu, aku ucapkan terima kasih tak terhingga.

Apa boleh kau jangkakan dalam buku kedua siri Cerita Budak Design ni? Secara jujurnya, aku tak boleh nak cakap sebab aku sendiri pun belum pasti apa yang boleh di jangkakan dalam buku kedua ni. Sebab, terus terang aku katakan, buku pertama dulu pun sebenarnya tak pernah ada dalam perancangan aku untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan buku. Paling jauh yang aku bayangkan dulu pun mungkin aku dapat duit lebih dari projek-projek kerja bebas aku dan terbitkan sendiri. Ya, secara ‘haram’ tentunya. Cuma boleh didapati di pasaran gelap. Tak ada ISBN apa pun.

Tapi, bukan bermakna aku tak berusaha untuk cuba terbitkan. Aku pernah hantar manuskrip aku ke beberapa penerbit-penerbit yang bukan dari arus perdana, tapi tak pernah ada sebarang jawapan. Bahkan, tak ada respon langsung cakap yang manuskrip aku diterima ke, tidak ke, paling tidak pun cakap manuskrip aku tak menarik atau tak sesuai untuk syarikat penerbitan buku dia pun dah cukup.

Yang tambah pelik lagi, ada satu masa tu, bukan main kecoh lagi pasal zaman teknologi sekarang kena balas emel sebab emel merupakan antara cara-cara rasmi zaman sekarang untuk berkomunikasi.

Untuk bersangka-baik, makanya aku simpulkan yang emel aku masuk SPAM.

Jadi, jangkaannya?

Hidup ni pun dah misteri. Jadi apa salahnya kalau buku kedua siri Cerita Budak Design aku ni pun, aku misterikan. Apa barang kalau semua benda aku dah cerita dalam bab awal ni, dah jadi tak menariklah jadinya. Tapi, mungkin aku boleh janjikan satu perkara; aku akan lebih perincikan segala cerita-cerita aku sebelum ini. Mungkin tak semua dari cerita buku satu, aku petiklah satu dua yang menarik untuk dicerita semula. Mungkin juga perician aku itu aku naikkan sampai sebut nama sebenar? Atau tak perlu 100% sama, cukup untuk kau boleh terbayangkan siapa mereka. Kalau ceritanya negatif, kena saman pula nanti.

Sebelum hanyut lebih jauh, baik aku simpulkan prolog aku.

Menjadi seorang pereka grafik memang tak pernah ada dalam kamus hidup aku sehinggalah aku habis SPM. Lepas dah dapat keputusan SPM pun, aku tak pernah tahu langsung yang sebenarnya memang ada kerja dan memang wujud kerjaya yang dinamakan sebagai seorang pereka grafik.

Yalah, lima tahun bersekolah menengah, apa yang secara halus diinsepsikan dalam fikiran kau?

Doktor. Akauntan. Jurutera—ini yang utama.

Memang menjadi seorang pereka grafik tak pernah ada dalam kamus hidup aku. Tapi, perkara yang tak pernah ada dalam kamus hidup kau tak semestinya perkara tu buruk. Isteri aku pun tak pernah ada dalam kamus hidup sampailah aku jumpa dia Mac 2010, one of the best thing ever.

Begitulah juga menjadi seorang pereka grafik. Bukan benda senang jadi seorang pereka grafik di Malaysia. Sepuluh orang aku jumpa, belum tentu ada seorang yang hargai pentingnya design dalam kehidupan seharian. Tapi, itu cabaran yang aku sanggup untuk perjuangkan.

Jadi terima kasih aku kepada mereka yang terima dan percaya dengan apa yang aku buat.

Kedua ibu bapa aku—mak dan abah.

Isteri aku, Siti Nur Kamar—yang tenang-tenang layan kegilaan aku.

Adik beradik aku, Fatin, Hazmi dan Farah—yang tak habis-habis nak tiru cara aku.

Yang percaya dengan apa yang aku boleh buat untuk mereka—Rafizi Ramli dan Akmal Nasir.

Juga kepada mereka yang aku tak dapat nak sebutkan semua.

Terima kasih.