Creative Designer & Writer from MY.

A designer who have so much on the plate, that decided to just go to sleep. It is always a new day tomorrow. And, I am the author of the book #CeritaBudakDesign.

2 Selepas CBD

SELEPAS CERITA BUDAK DESIGN.

Kalau kau rasa dengan menulis buku ini aku menjadi terlebih popular atau kerja-kerja masuk dengan banyak dan aku jadi kaya-raya, kau silap. Sila jangan terlalu banyak menonton televisyen sampaikan kau terpengaruh dengan jalan-jalan cerita yang tunjukkan orang boleh berjaya buat apa yang mereka suka dalam sekelip mata—tak jadi dalam dunia nyata! Tapi, nak kata aku tak terpengaruh dengan jalan-jalan cerita menarik begini, tipulah. Cerita-cerita seperti Chef lakonan Jon Favreau, seorang tukang masak terkemuka, kena pecat dan buat trak makanan sendiri menjelajah seluruh negara jadi popular dalam sekelip mata di media sosial. Gila kau tak terpengaruh tengok cerita-cerita macam ni?

Tak salah pun nak terpengaruh, tapi jangan terpengaruh bulat-bulat.

Maksud aku dengan bulat-bulat ialah, jangan ingat dengan hanya masak satu masakan, hias dengan cantik, ambil gambar cantik dan masukkan ke media sosial, boleh jadi viral dalam sekelip mata—ibarat tunggu bulan jatuh ke ribalah cerita dia.

Nak terpengaruh, silakan. Tapi alirkan keterpengaruhan kau tu ke arah yang betul. Buat apa yang mereka buat macam yang kau tengok dalam televisyen atau filem tu, tapi jangan cuba takat tu, ala kadar. Acuh tak acuh kata orang lama. Jangan cuba sekali, lepas tu tak menjadi, terus habis gerak buat benda lain pula. Kalau 10 kali kau ulang proses yang sama dan hasil dia sama, mengharap hasil yang lain, memang kau buang masa sajalah.

Dan niat kau kena betul.

Susah aku nak cakap pasal niat ni, sebab dia terlalu subjektif. Tapi, sebagai seorang yang beragama Islam, niat yang utama cuma ada satulah—nak dapatkan redha Allah.

Dan, niat nak dapatkan redha Allah ni pula, ada banyak cabang-cabang dia. Cabang kau mungkin lain, cabang aku lain. Dan untuk memudahkan apa yang aku nak sampaikan, aku ringkaskan begini;

Dari awal sejak aku dah boleh berfikir, dah boleh tentukan baik buruk, dah boleh nak buat keputusan sendiri, dalam kepala dan hati aku cuma ada satu perkara ini sahaja bila aku buat satu-satu perkara—bila aku buat perkara-perkara tersebut, aku rasa tenang, aku rasa puas, aku rasa damai. Ambil contoh sejak aku mulakan kerjaya aku sebagai seorang pemain industri kreatif, aku tak pernah terfikir untuk jadi popular. Popular dalam takrifan aku, buat kerja-kerja yang glamor. Contoh kerjaya yang glamor? Masuk advertising buat projek-projek yang libatkan nama-nama besar. Ini satu contoh yang aku boleh fikirkan.

Tapi, bukan kau ada buat kerja agak glamor?

Bukan ke kau pernah kerja dengan Hans Isaac? (sekarang dah Dato’).

Yup. Tapi kerja tu terjadi dengan sendiri. Sumpah! Seumur hidup aku, aku tak pernah pun terdetik dalam hati, tiba satu hari bangun dari tidur dan buat keputusan yang oklah aku nak kerja dengan Dato’ Hans Isaac.

Apa-apa kerja yang aku pernah buat dengan dia dulu, jadi dengan sendiri. Ini fakta. Kebetulan tempat aku buat latihan industri tahun akhir dekat MMU dulu, tawarkan aku kerja bila aku dah habis FYP. Dan kebetulan lagi, hari pertama aku masuk kerja, studio tempat kerja aku tu dapat projek teater muzikal dari studio produksi Dato’ Hans Isaac, Tall Order Productions (TOP). Dan kebetulan (banyak gila kebetulan), lepas segala apa yang terjadi (buruk dan baik), aku bina satu hubungan kerja yang baik (jauh lagi lagi baik dari bos aku) dengan orang-orang kanan studio TOP. Bila aku dah lepaskan diri aku dari studio tempat kerja pertama aku dulu tu, kau rasa bila studio TOP ni ada projek baru, siapa yang dia panggil?

Oklah, bukan kebetulan. Takdir. Qada’ dan qadar. Rezeki aku.

Mungkin aku boleh sebutkan juga, kalau kau perhati media-media sosial peribadi aku, aku tak pernah pos apa-apa gambar yang menampakkan seperti seorang yang ‘kaki glamor’. Mana ada gambar-bambar aku selfie dengan Hans Isaac ke, Awie, Afdlin Shauki, Harith Iskander ke, tak ada. Kalau aku ada pos gambar-gambar diorang ni pun, gambar tu lebih kepada gambar rasmi kerja berbanding dengan gambar peribadi nak tayang kehidupan seharian.

Aku bukannya nak tembak orang-orang yang kaki glamor ni, bukan. Cuma, aku nak sampaikan dekat kau apa yang ada dalam kepala aku. Tak salah untuk kau ambil gambar dengan mana-mana personaliti, artis ke apa, tapi kalau kau terlibat dan jumpa dengan personaliti disebabkan kerja, kau kerjalah. Bila dah habis kerja nanti, kau nak bergambar macamana sekalipun, buat.

Ada satu cerita pasal kaki glamor ni, sekali masa teater Supermokh Sebuah Muzikal, tim produksi buat sidang media dekat Setia Convention Centre dekat Setia Alam yang sebelah Setia City Mall tu—sebab teater ni sponsor utama dia S P Setia. Ada seorang kru baru dalam tim public relation (PR). Dia buat kerja macam biasa, bila orang suruh buat dia buat, dia buat. Cuma ada satu masalah kecil yang akhirnya jadi besar. Dia kaki glamor. Terlalu kaki glamor sampaikan kerja-kerja yang dia buat tak siap, orang lain kena ambil alih dan siapkan kerja dia. Kalau kerja siap pun, ambil masa yang lama padahal kerja tu mungkin boleh siap dalam sekelip mata. Masa sidang media yang aku sebut atas tadi, tugas dia senang. Jaga pelakon utama. Bila pelakon-pelakon utama ni sampai, dia kena jaga jangan terlepas sampai orang boleh kacau. Pastikan bila majlis dah nak mula, pelakon-pelakon utama ni dah bersedia. Lebih 10-15 minit sebelum majlis nak mula, salah seorang pelakon utama nak pergi berasap (hisap rokok) kejap dekat bawah. Dia ikut sekali teman, nak pastikan tak jadi apa-apa dan bila majlis nak mula, boleh terus tarik balik naik atas. Kebetulan, dekat kawasan merokok tu, adalah wartawan-wartawan, fotografer yang merokok sekali. Borak-borak sikit, ada fotografer minta pose nak buat gambar koleksi.

Dalam tengah-tengah wartawan dan fotografer tu tengah nak buat kerja, si kaki glamor ni buat apa? Dia ajak pelakon utama tu selfie. Bukan sekali dua, siap manja-manja suruh buat gaya itu ini.

Aku yang dari atas boleh nampak dan dengar suara dia yang agak kuat tu.

Berdiri sebelah aku, akak pengurus PR bisik dekat aku, “Tengoklah tu Ben. Kak Su bukan apalah, tapi kalau waktu kerja, kerjalah. Tak payah nak glamor-glamor. Kerja banyak nak kena buat ni, bukannya tak ada kerja.”

Pengajaran 1, mungkin kau tak dengar orang mengadu pasal kau. Tapi, orang perhati.

Nak tambahkan lagi keperitan cerita si kaki glamor ini, kita pergi ke penghujung cerita. Hari persembahan terakhir di Istana Budaya. Hari yang juga, pembayaran bahagian gaji yang terakhir.

Teater Supermokh Muzikal boleh dikatakan berjaya. Beberapa kru produksi yang penting (kru kanan), dijanjikan bonus kalau tugas dilakukan berprestasi baik. Aku tak tergolong dalam kru yang dijanjikan bonus ni. Sebab, yang dapat bonus ni mereka-mereka yang boleh bawa masuk jualan tiket atau lebih baik lagi, bawa masuk penaja. Tak perlu besar, cukup puluh ke ratus ribu.

Dan si kaki glamor ini, tergolonglah dalam kru yang dijanjikan bonus.

Cerita sidang media atas tadi, cerita-cerita awal. Kalau kau bayangkan cerita teater aku ni ibarat sebuah buku yang ada 10 bab, cerita sidang media tadi baru masuk bab tiga-empat macam tu saja. Jadi, banyak cerita-cerita selepas yang terjadi, yang kalau aku cerita, dah salah konsep dah buku aku ni nanti. Jadi, cerita hari terakhir, hari pembayaran gaji akhir adalah bab penutup.

Dan, ringkasan peristiwa yang terjadi di antara bab tiga-empat dan bab penutup, bolehlah aku ringkaskan begini—si kaki glamor dah mula sedar yang kru-kru kanan seperti Kak Su, pengurus PR dan Mr Raj, line producer : Mr Raj ni kira macam orang nombor dualah juga lepas Hans, sebab secara teknikalnya, he runs the production. Kalau benda tak lepas dia, takkan sampailah ke tangan Hans. Apa si kaki glamor ni buat bila dia rasa dia dah tersepit dan ditolak ke penjuru bilik? Dia pergi ke orang yang dia sangka boleh selamatkan dia. Orang nombor satu dalam studio Hans, kau rasa siapa? —dah tentulah Hans Isaac sendiri.

Ampu habis-habisan.

Cuma dia tak tahu satu benda. Gaji kau, gaji dia, gaji aku, yang tentukan—Mr Raj. Memang bukan dia yang sain cek, tapi kalau kau biasa dalam satu organisasi yang bos paling besar malas nak fikir semua benda, dia harapkan orang kanan yang dia percaya buat kerja, kerja bos besar cuma tengok apa yang ada di permukaan. Apa yang jadi dekat dasar, lantak koranglah nak buat apa. Dia malas fikir, sebab dia ada produksi nak kena arah. Ada persembahan untuk dijayakan, ada Sultan nak dipuaskan hati. Kau ingat, dia nak fikir pasal politik-politik pejabat, ampu mengampu ni?

Dan, kau rasa si kaki glamor ni dapat ke bonus yang dijanjikan tu?

Pengajaran kedua aku, berbalik ke ke pengajaran pertama tadi—memang kau rasa macam tak ada apa, tapi orang perhati. Jadi bila bab kerja, letakkan dalam kepala kau, setiap apa yang kau buat, walau kau rasa kau dah cukup sorok ke apa, orang tetap boleh perhati.

Pengajaran ketiga—kerja mengampu ni kerja orang malas. Kerja orang tak ada otak. Kerja orang bodoh. Jadi, silalah jangan jadi bodoh. Kalau kau spesis nak kaya cepat, tapi banyak mengelat, kau tak layak baca buku aku ni dan kau tak layak untuk masuk tim aku.

Maaflah kalau bunyinya kasar, tapi bukan style aku nak simpan orang yang kerjanya mengampu.

Kau nak berjaya, kau nak naik, kau buat kerja kau. Kau usaha keras dan tolong—sila jangan jadi bodoh.

Kalau kau rasa dengan mengampu bos kau boleh berjaya dan mungkin dah berjaya—(hela nafas)—kau berada dalam satu organisasi yang dipelopori oleh orang-orang bodohlah, senang cerita.

Jadi, Selepas Cerita Budak Design?

Macam lari tajuk, tapi aku rasa tak lari sangat sebab—

Cerita teater Supermokh Sebuah Muzikal aku atas tadi ni adalah cerita betul-betul sebelum aku putuskan untuk tulis buku Cerita Budak Design aku dulu. Lepas semua kerja grafik aku untuk produksi teater selesai, dan show dah mula berjalan di Istana Budaya, aku tercari-cari ‘kerja baru’ untuk buat. Walaupun kerja grafik aku dah siap, aku masih lagi ‘masuk kerja’ tiap-tiap hari ke Istana Budaya, sebagai fotografer pula. Dan kalau-kalaulah ada last minute job yang perlu aku buat. Tapi, in between those, aku perlu buat sesuatu. Jadi, aku pun mulalah tulis Cerita Budak Design.

Aku simpan satu rahsia besar lepas aku habis produksi teater Supermokh Sebuah Muzikal. Bagi aku, perkara ni cukup besarlah. Cuma kalau kau baca, orang lain baca, bagi media ke baca, kata orang, tak ada story pun rahsia besar kau ni. Syok sendiri je lebih.

2013, dalam pertengahan jalan projek teater Supermokh, aku hantar satu permohonan kerja grafik yang aku ternampak postingnya di media sosial.

Yang betul-betul menggerakkan untuk aku hantar sepucuk emel ialah isteri aku. Bersungguh-sungguh dia suruh aku cuba hantar, mana tahu boleh dapat. Dahlah memang kuat ikut orang tu, poin isteri aku.

Jadi aku emel.

Jarak masa dari aku nampak posting tu, aku hantar emel sampailah tak ada berita apa, adalah lebih kurang sebulan-dua lebih kurang. Aku memang ingat yang takda harapan kot ni. Yalah, yang buat posting mencari pereka grafik tu bukan calang-calang orang—Rafizi Ramli kot. Confirm ramai orang nak kerja dengan dia. Itu dalam kepala aku masa itulah. Dan kau boleh kaitkan juga dengan apa yang aku cakap dekat atas tadi pasal buat kerja glamor. Kerja dengan Rafizi Ramli pun adalah satu kerja glamor juga, cuma dalam konteks yang berpusing 360 darjah dari kerja glamor yang pernah aku libatkan diri.
Tapi, satu lagi perkara yang bermain-main dalam kepala aku masa itu ialah, dalam banyak-banyak orang atau organisasi yang cari pekerja sebagai pereka grafik, memang jauuuuuuuuuuuuuuuhlah nak sangka orang tu ialah orang politik. Cuba kau tengok dalam konteks Malaysialah terutamanya—politik Malaysia yang kau faham, memang takda kaitan langsung kot orang politik nak pereka grafik.

But, things happens.

Kalau tak silap aku, mungkin minggu terakhir teater Supermokh di Istana Budaya kalau tidak show-show terakhir, aku dapat panggilan dari nombor tak dikenali. Nombor bukan nombor landline, tapi nombor telefon bimbit. Masa ni, aku belum lagi dalam fasa dapat banyak nombor tak kenal dan jenis tak reti jawap panggilan. Yalah, ni zaman baru mula kerja, takda loan rumah, loan kereta, takda kad kredit lagi, jadi kuranglah dapat panggilan telemarketer ke apa. Jadi, nombor tak kenal tadi aku angkat.

Sebenarnya aku ada memori samar-samar sikit. Panggilan pertama aku tak jawap. Lepas tu aku dapat SMS dari nombor yang sama perkenalkan diri bagai dan tanya kalau free to talk—memori ni samar-samar, aku tak pasti betul jadi atau aku punya imaginasi sahaja.

Yang telefon aku malam tu ialah Akmal Nasir. Kalau kau betul peminat tegar politik, nama Akmal Nasir ni mungkin kau pernah terjumpa sekali dua dalam media.

Jam masa tu dah dekat 10 malam.

Mula-mula tu aku takdalah terfikir sangat pasal perkara ni. Tapi lepas-lepas tu, memang terdetiklah pelik gila orang telefon pre-interview dalam telefon malam-malam yang dah tentu-tentu terlebih lepas waktu pejabat. Ahh, masa ni aku bukannya faham lagi orang politik berfungsi macamana, jadi bagi aku peliklah sikit. Nak tambah cerita lagi, panggilan telefon malam tu tak berjalan lancar sangat awalnya. Aku tak tahu sekarang macamana Istana Budaya ni, tapi malam tu, signal line telefon memang teruk gila. Aku tak pasti kenapa, tapi aku rasa ada kaitan dengan struktur bangunan Istana Budaya dan segala macam sistem yang ada dalam bangunan tu. Dah kalau dekat mall pun boleh bermasalah, apatah lagi dekat bangunan yang berselirat macam Istana Budaya tu.

Dari ruang lobi Istana Budaya masa aku dapat panggilan tu, aku berlari keluar sampai nak ke Jalan Tun Razak, aku berdiri antara sempadan kawasan Istana Budaya dan Balai Seni Negara. Tiga atau empat kali talian terputus dan nasib baiklah Akmal Nasir ni penyabar orangnya dan telefon aku balik.

Lalu satu sesi temuramah disusun dekat pejabat National Oversight & Whistleblower di Sungai Besi.

Masuk semula ke ruang lobi utama, aku terus pergi ke arah isteri aku yang masa tu buat part-time jadi orang jual merchandise rasmi teater Supermokh Sebuah Muzikal. Ada sekali sepupu aku, Hafiz yang baru habis degree, jadi assistant aku untuk projek teater tu.

Aku rasa masa tu memang aku senyum sampai ke telingalah kot.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *